Mungkinkah CFMoto 750SR-S ‘Sportbike’ yang Kita Tercari-cari Selama Ini?
Setelah hampir 30 tahun menguji dan memilikki pelbagai jenis motosikal, saya boleh mengenal pasti jenis motosikal yang benar-benar saya cintai, sukai, dan benci. Di tangga teratas senarai saya ialah motosikal jenis ‘sportbike‘.
“Kenapa?” saya dengar anda bertanya. “Motosikal sportbike tidak selesa terutamanya untuk perjalanan jauh, tidak praktikal, dan terlalu laju untuk tunggangan harian.” Jawapan saya ialah “Semua perkara itu benar.” Adakah itu menjadikan saya seorang yang suka menyeksa diri? Tidak sama sekali. Ingatlah bahawa bermotosikal adalah pengalaman emosi. Di situlah datangnya semangat cinta terhadap motosikal. Jadi izinkan saya menjelaskan: Motosikal sportbike lebih tulen tujuannya, justeru mempunyai kendalian yang lebih baik, brek yang lebih kuat, dan kuasa yang ganas. Tiada keseronokan yang lebih hebat daripada meluru ke dalam selekoh dan keluar dengan enjin yang meraung atau menjerit ketika pecutan. Dan inilah sebenarnya tujuan motosikal sportbike diciptakan, selain daripada kelajuan maksimum yang melampau.

Tetapi untuk bersikap adil dan terus terang, motosikal sportbike, terutamanya superbike 1000cc, sudah terlalu laju sekarang. Hakikatnya saya tidak muda lagi, jadi refleks saya semakin pudar, ditambah dengan lengan terasa kebas 20 minit selepas menunggang di atas trek.
Beralih ke kelas 600cc adalah suatu langkah baik, tetapi ia tidak mempunyai kuasa bawahan dan pertengahan RPM seperti daripada enjin 1000cc. Jadi, anda perlu memastikan enjin sentiasa pada RPM tinggi, kerana jika tidak, anda akan merungut kerana kekurangan pecutan keluar dari selekoh. Namun, motosikal 600cc sudah tentu mengendali dengan sangat baik kerana lebih ringan.

Jadi, di mana kedudukan saya? Kembali kepada 1000cc. Sehinggalah saya menunggang Suzuki GSX-R750.
Jika anda melihat jalan raya—bukan litar lumba—motor berat sederhana 750cc sememangnya menjadi “titik sempurna” yang tersembunyi. Ia menawarkan ketangkasan 600cc dengan tork seperti motosikal 1000cc. Sekarang tiba pula CFMoto 750SR-S, pesaing baharu yang bukan sekadar mewajarkan kelas 750cc, malah menyempurnakannya.

Pertama, mari kita bincangkan tentang julat kuasa. Superbike 1000cc memang mendebarkan, tetapi ia seperti menggoda di lebuh raya awam; anda sudah melebihi had laju pada gear pertama. Enjin 749cc empat sebaris CFMoto menghasilkan 110 hp dan 80 Nm tork. Itulah zon “Goldilocks”. Ia cukup agresif untuk mengangkat roda depan keluar dari selekoh, tetapi cukup lancar dan terkawal sehingga anda tidak perlu bergelut dengan motosikal dalam lalu lintas berhenti-henti. Di mana roket 200hp terasa terlalu ganas, 750SR-S terasa hidup dan mudah diakses. Dalam analogi caerita Goldilocks dan Tiga Beruang, superbike 1000cc seperti bubur yang terlalu panas, supersport 600cc seperti bubur terlalu sejuk, 750cc adalah paling sesuai.

Apa yang menjadikan CFMoto 750SR-S sebagai kes kajian untuk kategori ini ialah tumpuannya pada kebolehgunaan di dunia nyata, bukannya aksi heroik pada lap terakhir. CFMoto secara terbuka meletakkan “SR-S” sebagai mesin berorientasikan jalanan. Bayangkan interpretasi moden terhadap legasi “serba boleh” siri Honda CBR600F. Oleh itu, CFMoto 750SR-S termasuk dalam sub-kategori “motosikal sportbike harian” bersama Yamaha YZF-R7, Yamaha YZF-R9, Suzuki GSX-8R, Triumph Daytona 660, Honda CBR650R. Anda mendapat gaya agresif dan sayap aerodinamik yang menjana 30 Nm daya tekan untuk memastikan anda stabil di lebuh raya, tetapi anda juga mendapat ergonomik (susunan tunggangan) yang tidak seakan mematahkan pergelangan tangan anda dalam perjalanan harian.

Selain itu, 750SR-S menjadikan ciri “premium” sebagai standard, bukan pilihan mahal. Ia dilengkapi dengan brek Brembo, suspensi KYB boleh laras sepenuhnya, ABS membelok, dan lengan ayun sebelah — semua komponen yang biasanya ditemui pada motosikal berharga jauh lebih tinggi.

Tetapi hujah paling kukuh untuk kelas 750cc adalah nilai, dan di sinilah CFMoto menjadi pendahulu. Walaupun Suzuki GSX-R750 yang setara (walaupun terpakai) bermula hampir RM50,000, CFMoto dilancarkan pada harga RM41,888. Sudah tentu, Modenas Ninja ZX-6R (RM59,900) lebih berkuasa dengan 124 hp, tetapi ia adalah senjata trek sepenuhnya – dibuktikan dengan tork 69 Nm yang lebih rendah pada 10,800 RPM yang tinggi berbanding 750SR-S dengan 80 Nm pada hanya 9,000 RPM. Tork yang lebih tinggi dan tersebar luas di seluruh julat kuasa lebih diingini untuk tunggangan harian kerana anda tidak perlu sentiasa menukar gear untuk memecut.

Sebagai catatan lain, Suzuki tidak lagi mengeluarkan GSX-R750, walaupun ia merupakan mesin supersport 750 terakhir yang bertahan hampir dua dekad selepas WorldSBK beralih sepenuhnya kepada 1000cc. Juga, Hong Leong Yamaha tidak mengimport R7 dan R9 secara rasmi, manakala Zontes Malaysia nampaknya lebih berminat untuk memerah habis siri skuter Zontes 368 berbanding mengimport motosikal sportbike 703RR; dan Suzuki GSX-8R (RM53,800) serta Honda CBR650R (RM49,999) berharga di atas 750SR-S. Di sebelah Eropah (dan premium), anda mempunyai Triumph Daytona 660 (RM49,500) (Aprilia RS660 dianggap motosikal sukan tulen dan berharga dari RM79,990 bergantung pada varian), jadi itu meninggalkan CFMoto 750SR-S dengan nilai yang sukar ditandingi.

CFMoto 750SR-S membuktikan bahawa anda tidak memerlukan replika perlumbaan untuk berseronok. Anda memerlukan motosikal yang laju, selesa, canggih dari segi teknologi, dan rasional dari segi kewangan. Itulah sebabnya kelas 750cc masuk akal, dan mengapa pendatang baharu ini akhirnya memberi penunggang alasan untuk bertukar kem.